KUALA LUMPUR: Kontinjen silat negara hari ini meneruskan prestasi cemerlang apabila menghadiahkan tiga butir emas pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Emas pertama pencak silat, yang juga emas ke-16 buat Malaysia disumbangkan oleh Norsyakirah Muksin dalam kategori bawah 45 kilogram Putri.

Norsyakirah menewaskan wakil Indonesia, Suci Wulandari 36-33 pada final yang berlangsung di Chroy Changvar Convention Center.

Rentak cemerlang kem pesilat negara bersambung apabila Norfarah Mazlan menyumbang emas kedua dalam kategori 45-50 kilogram Putri, mengalahkan Nadhrah Sahrin dari Singapura dengan 23-16 pada pentas akhir.

Pada sesi sebelah petang pula, Muhammad Izzul Irfan Marzuki turut tidak mengecewakan apabila membutirkan satu lagi pingat emas, yang juga emas ke-20 buat negara menerusi acara silat kategori 60-65 kilogram Putra.

Dia menewaskan pesilat Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada dengan keputusan 39-33.

Semalam, enam pesilat negara mengesahkan slot ke pentas akhir acara silat tanding selepas menumpaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Mereka antaranya ialah Norsyakirah; Norfarah, Muhammad Izzul Irfan; Mohd Shahrul Zeckry; Siti Shazwana Ajak; serta Muhammad Robial Sobri.